Dengan Nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah,
Lagi Maha Mengasihani..
Syukur Alhamdulillah atas keizinan nafas dan nadi ini untuk terus
berada di dunia ini. Moga masa yang di anugerahkan ini digunakan sebaiknya oleh
ana. Selawat dan salam buat utusan terakhir, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum
kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
1) Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)
Dakwah adalah berat pada tanggungjawab dan
tugasnya, maka di sini perlunya seorang da’ie itu tubuh badan yang sihat dan kuat. Rasulullah saw menitikberatkan soal
ini, sabdanya:
Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi
Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan. Kita juga
hendaklah sentiasa memeriksa kesihatan diri, mengamalkan riadah dan tidak
memakan atau minum suatu yang boleh dan diketahui merosakkan badan.
2) Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)
Akhlak kita ialah Al-Quran dan ianya terserlah
pada diri Nabi saw. Telah dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam
kewajipan seorang da’ie iaitu bersifat
sensitif, tawadhu’, benar dalam perkataan
dan perbuatannya, tegas, menunaikan janji, berani, serius, menjauhi teman buruk
dan lain-lain.
3) Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal
Fikri)
Seorang da’ie perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu
menceritakan kepada orang lain perihalnya di samping perlu bersumberkan kepada
Al-Quran dan Hadis serta ulama’
yang thiqah. Pesan Imam Banna:"Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai
perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi."Selain
itu, seorang da’ie perlu mampu membaca
Al-Quran dengan baik, tadabbur, sentiasa mempelajari sirah, kisah salaf dan
kaedah serta rahsia hukum yang penting.
4) Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)
Seorang da’ie walaupun kaya, perlu bekerja. Dia juga tidak boleh terlalu mengejar
jawatan dalam kerajaan. Dalam keadaan tertentu, meletakkan jawatan dan
meninggalkan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan
pendapatan yang diterima. Selain itu, dia hendaklah sentiasa melakukan setiap
kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan). Dalam soal kewangan, menjauhi riba
dalam semua lapangan, menyimpan untuk waktu kesempitan, menjauhi segala bentuk
kemewahan apatah lagi pembaziran dan memastikan setiap sen yang dibelanja tidak
jatuh ke tangan bukan Islam adalah beberapa perkara penting yang perlu
dititikberatkan dalam kehidupan.
5) Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)
Seorang da’ie semestinya redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad
saw sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Sentiasalah muraqabah kepada Allah
dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir. Di samping itu,
jangan dilupakan tugas menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi
dosa dan syubhat.
6) Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)
Seorang da’ie perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya, perlu belajar
untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram dan tidak melampau
atau berkurang (pertengahan) atau dengan kata lainnya bersederhana dalam setiap
urusan dalam kehidupannya.
7) Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)
Seorang da’ie perlu mempunyai azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan
mengikut kehendak Islam di samping tidak menghiraukan apa orang lain kata dalam
mempraktikkan Islam yang sebenarnya. Perlulah diingatkan bahawa dai'e mungkin
melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak
biasa dengan kesusahan.
8) Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)
Sentiasa beringat bahawa waktu, nilainya lebih
mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula.
Mengimbau kembali sejarah di zaman dahulu, para sahabat sentiasa berdoa agar
diberkati waktu yang ada pada mereka.
9) Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)
Untuk manfaatkan waktu dengan baik, maka
timbulnya keperluan kepada penyusunan dalam segala urusan. Gunakanlah segala
masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.
10) Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)
Da'ie umpama lilin yang membakar diri untuk
menyuluh jalan orang lain. Da'ie adalah penggerak kepada dakwah dan Islam. Masa
depan Islam, hidup dan terkuburnya Islam bergantung kepada da’ie. Amal Islam seorang da’ie
ialah untuk menyelamatkan orang lain daripada kesesatan. Da'ie akan sentiasa
merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya
ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.
0 Comments:
Post a Comment